TAKRIF LOGO

Warna putih dan hitam merupakan warna rasmi PPUiTM bermakna keunggulan dan keikhlasan.Bentuk tiga (3) segi  yang merangkumi perkataan PP bermakna sikap proaktif dan prihatin ahli untuk mencapai objektif PPUiTM.



SEJARAH PENUBUHAN PERSATUAN PENTADBIRAN UiTM(PPUiTM)

Pada pertengahan tahun 1980an, Kumpulan Jawatan ITM (ketika itu) digalakan untuk membantu pengurusan dalam mengendali hal ehwal kebajikan staf dan merancang juga melaksanakan program pembangunan sumber manusia Kumpulan Jawatan masing-masing. 

Maka setiap Kumpulan Jawatan dari peringkat Pegawai Kumpulan A sehingga Staf Kumpulan D telah menubuhkan jawatankuasa bertindak atau kelab bagi mencapai hasrat tersebut.  Kelab Dalaman yang pernah didaftarkan di Pejabat Pendaftar antara lainnya adalah Kelab Penolong Pendaftar, Kelab Pegawai Kerani, Kelab Pegawai Eksekutif, Kelab Setiausaha, Kelab PAR, Kelab Staf PTAR dan Kelab Staf Bendahari.  Kesatuan Kakitangan Umum ITM (KKUITM) dan Kesatuan Kakitangan Akademik ITM (MITASA) telah sedia wujud dan didaftarkan di bawah Akta Buruh dan bertindak sebagai kesatuan pekerja di ITM.

Di sebalik keberkesanan beberapa kelab dalaman memperjuangkan pelbagai isu kebajikan mereka dan aktif merancang juga mengendalikan pelbagai program pembangunan sumber manusia bersama pengurusan ITM, di kalangan Pegawai Kumpulan A merasakan mereka perlu bersatu dalam satu persatuan pelbagai jawatan kerana bilangan mereka agak kecil.  Maka Persatuan Pentadbir ITM (PPITM) ditubuhkan dan melantik Encik Abdul Wahid Sulaiman, Ketua Pegawai Perpustakaan sebagai Presiden.  PPITM dianggotai oleh Pegawai Kumpulan A dari pelbagai jawatan seperti Penolong Pendaftar, Penolong Bendahari, Pegawai Perpustakaan, Pengurusan Asrama dan Jurutera.

PPITM kurang berkesan pada awal penubuhannya kerana ahlinya yang aktif adalah Ketua PTJ.  Ketua PTJ tidak digalakkan untuk bergiat cergas dalam Kelab Dalaman oleh pengurusan ITM kerana dikhuatiri ada conflict of interest.  Oleh yang demikian, Jawatankuasa Penaja PPITM telah mengambil langkah untuk mendaftarkannya ke Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Registry of Societies (ROS)) pada tahun 1987 untuk menjamin kebajikan ahlinya di samping bergiat sebagai persatuan sosial.  Penubuhan ini juga adalah bagi membolehkan Pegawai Kumpulan A ITM untuk terlibat dalam Persatuan Pegawai Ikhtisas Institusi Pengajian Tinggi Awam di Malaysia.

Namun penglibatan ahli masih dingin sehingga Tuan Haji Ariffin Ibrahim, Timbalan Pendaftar yang menerajui PPITM ketika itu mengumpulkan semua kelab dalaman supaya bernaung di bawah PPITM.  Setelah melalui beberapa pertemuan, hanya Kumpulan Pegawai B sahaja bersetuju untuk bergabung dengan PPITM.  Kumpulan staf C dan D setakat menerima konsep payung yang dianjurkan oleh PPITM.

Pada masa yang sama, pihak ROS telah mengemukakan saman terhadap PPITM kerana Jawatankuasa Penaja PPITM gagal mengemukakan laporan kewangannya selama tiga (3) penggal.  Justeru itu, perlembagaan PPITM digubal semula dan dilantik Jawatankuasa Penaja baru untuk menyempurnakan usaha pendaftaran ROS tersebut.  PPITM akhirnya didaftarkan secara rasmi pada tahun 1991 dengan Nombor Pendaftaran (No. Pendaftaran: 4892/91 Selangor) Rujukan: PPM/SEL 999/90 (13) PPP/SEL191/90.

Apabila ITM diberi taraf universiti pada 26 Ogos 1999 kepada UiTM, nama PPITM turut diperbaharui menjadi PPUiTM.  Keahlian PPUiTM adalah terbuka kepada pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional serta staf kumpulan Sokongan I dan diiktiraf oleh pengurusan UiTM sebagai Ahli Majlis Bersama Jabatan. PPUiTM telah beberapa kali memimpin Persatuan Pegawai Ikhtisas Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia.  Apabila persatuan ini berhasrat merubah dimensinya  kepada Majlis Pentadbir Universiti Awam atau MASTI pada 2012,  PPUiTM diberi kepercayaan penuh untuk memimpin perubahannya.



OBJEKTIF

i) Menyatukan serta mewujudkan perpaduan, persefahaman dan perhubungan baik di kalangan para Pentadbir di Institut Teknologi MARA (ITM).

ii) Mengadakan perbincangan dari masa ke semasa mengenai perkara-perkara dan masalah-masalah semasa di ITM serta berusaha untuk menyelesaikannya melalui perundingan di kalangan ahli PPITM sebelum sesuatu perkara atau isu dibawa kepada pihak atasan.

iii) Untuk melahirkan Pentadbir-pentadbir yang serba boleh serta berpengetahuan luas melalui pengedaran maklumat-maklumat bahan-bahan tertentu dan latihan kepada ahli-ahli Persatuan.

iv) Mewujudkan hubungan baik dan bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan dengan Persatuan-persatuan Pentadbir Universiti-Universiti Tempatan melalui pelbagai aktiviti.