(No. Pendaftaran: 4892/91 Selangor)
Rujukan: PPM/SEL 999/90 (13) PPP/SEL191/90
Perlembagaan Persatuan Pentadbir ITM, Malaysia(Disalin semula pada Oktober 1998)







PERKARA 1 – NAMA

Persatuan ini akan dikenali dengan nama Persatuan Pentadbiran ITM, Malaysia.

PERKARA 2 – ALAMAT BERDAFTAR

d/a Perpustakaan Tun Abdul Razak, Institut Teknologi MARA, 40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Alamat berdaftar Persatuan tidak boleh dipinda kecuali dengan kebenaran Pendaftar Pertubuhan.

PERKARA 3 – TUJUAN

  1. Menyatukan serta mewujudkan perpaduan, persefahaman dan perhubungan baik di kalangan para Pentadbir di Institut Teknologi MARA (ITM).
  2. Mengadakan perbincangan dari masa ke semasa mengenai perkara-perkara dan masalah-masalah semasa di ITM serta berusaha untuk menyelesaikannya melalui perundingan di kalangan ahli PPITM sebelum sesuatu perkara atau isu dibawa kepada pihak atasan.
  3. Untuk melahirkan Pentadbir-pentadbir yang serba boleh serta berpengetahuan luas melalui pengedaran maklumat-maklumat bahan-bahan tertentu dan latihan kepada ahli-ahli Persatuan.
  4. Mewujudkan hubungan baik dan bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan dengan Persatuan-persatuan Pentadbir Universiti-Universiti Tempatan melalui pelbagai aktiviti.

PERKARA 4 – KEAHLIAN

Terbuka kepada semua Pegawai Pentadbir Institut Teknologi MARA (ITM) Malaysia dan Cawangan-cawangannya dari Kumpulan A & B (bukan akademik) yang dilantik secara hakiki.

PERKARA 5 – PENDAFTARAN

  1. Permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dibuat dengan menggunakan borang yang telah ditetapkan dan dimajukan kepada Setiausaha dan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa.
  2. Yuran masuk menjadi ahli ialah sebanyak RM10.00 dan yuran tahunan berjumlah RM24.00.

PERKARA 6 – YURAN DAN TUNGGAKAN

  1. Yuran Tahunan hendaklah dibayar terlebih dahulu semasa Pendaftaran pada setiap tahun kepada bendahari Persatuan, atau melalui potongan gaji, sebelum bulan Mac tiap tahun.
  2. Seseorang ahli yang membiarkan yurannya tertunggak lebih daripada 3 (tiga) bulan hendaklah diberitahu dengan pemberian notis secara bertulis oleh Setiausaha atau bagi pihak Setiausaha.
  3. Seorang ahli yang gagal untuk menyelesaikan tunggakannya dalam tempoh 3 (tiga) bulan selepas notis diberi hendaklah secara automatis terhenti daripada ahli Persatuan.
  4. Hendaklah terpulang kepada budibicara Jawatankuasa Pengurusan pada sesuatu masa selepas pembatalan keahlian seorang ahli di bawah Perkara 6 (ii) di atas untuk menerimanya semula menjadi ahli dengan syarat yang difikirkan sesuai dengan syarat ahli tersebut telah membayar semua tunggakan yurannya.
  5. Seseorang ahli yang cuti berterusan bagi tempoh lebih daripada satu tahun kalendar, dengan membuat permohonan bertulis kepada Setiausaha, tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pengurusan, namanya bolehlah dimasukkan ke dalam daftar ahli yang tidak ada dan tidak dikenakan membayar sebarang yuran dalam tempoh yang tertentu.
  6. Yuran khas atau levis bagi sesuatu tujuan tertentu boleh didapatkan daripada ahli-ahli dengan resolusi Mesyuarat Agong Persatuan.

PERKARA 7 – KEAHLIAN

  1. Jawatankuasa Pengurusan hendaklah menyediakan daftar ahli-ahli yang akan diselenggarakan oleh Setiausaha.
  2. Jawatankuasa Pengurusan berhak membatal/melucutkan keahlian seseorang ahli dengan persetujuan sekurang-kurangnya 2/3 (dua pertiga) daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan.
  3. Ahli yang telah dibatalkan/dilucutkan keahliannya boleh membuat rayuan untuk dipertimbangkan oleh Mesyuarat Agong. Keputusan Mesyuarat Agong mengenai rayuan berkenaan adalah muktamad.

PERKARA 8 – KEISTIMEWAAN AHLI

  1. Ahli-ahli berhak untuk bercakap, mencalonkan, dicalonkan, membuang undi di Mesyuarat-mesyuarat Agong Persatuan.
  2. Berhak menerima semua terbitan Persatuan dengan percuma, melainkan dinyatakan.
  3. Berhak mendapat semua keistimewaan lainnya.
  4. Satu salinan Perlembagaan Persatuan akan diberikan kepada semua ahli Persatuan.

PERKARA 9 – PELUCUTAN KEAHLIAN

Keahlian anggota-anggota Persatuan gugur dengan sendirinya oleh sebab-sebab berikut:
  1. Disebabkan kematian.
  2. Apabila tamat sahaja perkhidmatan dengan Institut Teknologi MARA.
  3. Diberhentikan oleh Institut Teknologi MARA kerana tindakan tatatertib.
  4. Dipecat oleh Jawatankuasa Pengurusan kerana tingkah laku yang mengaibkan ataupun ‘misconduct’.

PERKARA 10 – PENGURUSAN

  1. Kuasa Tertinggi Persatuan hendaklah diletakkan dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan tertakluk kepada Perkara 26 Perlembagaan ini.
  2. Segala urusan Persatuan hendaklah ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan.
  3. Semua Ahli Jawatankuasa Pengurusan dan setiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam Persatuan hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.

PERKARA 11 – MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN

  1. Mesyuarat Agung Dwi Tahunan hendaklah diadakan sebelum 31 hb. Mac setiap selang 2 (dua) tahun pada tarikh dan tempat yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan.
  2. Semua ahli yang telah diberi kemudahan adalah berhak menghadiri dan bercakap dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.
  3. Urusan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan hendaklah:
    a) menerima laporan 2 (dua) tahunan
    b) menerima penyata kira-kira tahun tersebut yang telah diaudit
    c) memilih pegawai-pegawai Jawatankuasa Pengurusan bagi tahun-tahun yang akan datang
    d) melantik sekurang-kurangnya 2 (dua) orang Juruaudit Kehormat bagi tahun tahun yang akan datang
    e) mengambil keputusan terhadap sebarang resolusi, yang dikemukakan dengan betul kepada Mesyuarat Agung yang notis sepatutnya telah diberi
    f) menimbangkan sebarang perkara lain yang mana notis secara bertulis telah dibuat kepada Setiausaha sekurang-kurangnya 4 (empat) hari sebelum mesyuarat tersebut
    g) mengemukakan untuk dipertimbangkan sebarang isu lain yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan.

PERKARA 12 – PERJALANAN MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN

  1. Setiausaha hendaklah memberitahu semua ahli mengenai tarikh, masa dan tempat Mesyuarat Agung Dwi Tahunan sekurang-kurangnya 3 (tiga) minggu lebih awal.
  2. Beliau hendaklah meminta sebarang resolusi dan penamaan calon bagi jawatan pegawai di Jawatankuasa Pengurusan (yang telah dengan seumpamanya dicadangkan, disokong serta disetujui oleh ahli yang dicalonkan) untuk diperbincangkan dalam Mesyuarat Agong Dwi Tahunan.
  3. Semua resolusi dan penamaan calon tersebut hendaklah sampai kepada Setiausaha tidak kurang daripada 7 (tujuh) hari sebelum mesyuarat tersebut.
  4. Agenda Mesyuarat Agong Dwi Tahunan termasuk penyata kira-kira tahunan bagi 2 (dua) tahun yang lalu yang telah diaudit hendaklah dihantar kepada semua ahli sekurang-kurangnya 7 (tujuh) hari sebelum mesyuarat tersebut.
  5. Quorum di Mesyuarat Agung Dwi Tahunan hendaklah 30 (tiga puluh) atau setengah daripada jumlah keahlian.
  6. Apabila berlaku tiada cukup quorum, mesyuarat tersebut akan ditangguhkan.
  7. Mesyuarat yang ditangguhkan hendaklah diadakan semula dalam masa 10 (sepuluh) hari di tempat dan masa yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan dan agenda hendaklah sama seperti yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Dwi Tahunan asalnya. Jika sekiranya quorum tiada mencukupi maka ahli-ahli yang hadir hendaklah mempunyai kuasa untuk meneruskan urusan tersebut tetapi hendaklah tidak mempunyai kuasa untuk meminda Perlembagaan atau membuat keputusan yang melibatkan seluruh keahlian.

PERKARA 13 – MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA

  1. Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah dipanggil oleh Setiausaha:
    a) Di atas arahan Jawatankuasa Pengurusan;
    b) Di atas arahan Presiden;
    c) Di atas permintaan secara bertulis kepada Setiausaha oleh sekurang-kurangnya 20 (dua puluh) orang ahli atau 1/5 (satu perlima) daripada jumlah keahlian biasa yang mana kurang. Mesyuarat tersebut hendaklah diadakan dalam tempoh satu bulan permintaan tersebut diterima.
  2. Setiausaha hendaklah memberitahu semua ahli mengenai tarikh, masa dan tempat bagi mengadakan Mesyuarat Agong Luar Biasa tersebut sekurang-kurangnya 3 (tiga) minggu sebelumnya.
  3. Quorum di Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah 30 (tiga puluh) orang ahli atau 1/2 (setengah) daripada jumlah keahlian, ikut mana yang kurang.
  4. Apabila beriaku tiada cukup quorum, mesyuarat tersebut akan ditangguhkan. Mesyuarat yang ditangguhkan hendaklah diadakan semula dalam masa 10 (sepuluh) hari ditempat dan masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan dan agenda hendaklah sama seperti yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Luar Biasa asalnya. Jika sekiranya quorum tiada mencukupi maka ahli-ahli yang hadir hendaklah mempunyai kuasa untuk meneruskan urusan tersebut tetapi hendaklah tidak mempunyai kuasa untuk meminda Perlembagaan atau membuat keputusan yang melibatkan seluruh keahlian.
  5. Hanya perkara-perkara yang meminta Mesyuarat Agung Luar Biasa itu diadakan sahaja yang menjadi agendanya.

PERKARA 14 – JAWATANKUASA PENGURUSAN

  1. Hal ehwal Persatuan hendaklah dijalankan oleh Jawatankuasa Pengurusan yang dilantik dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan. Jawatankuasa Pengurusan hendaklah terdiri daripada:
    a) Presiden
    b) Seorang Naib Presiden
    c) Setiausaha Agung
    d) Seorang Penolong Setiausaha
    e) Bendahari
    f) Sepuluh Ahli Jawatankuasa Biasa
  2. Tempoh perkhidmatan Jawatankuasa Pengurusan hendaklah selama 2 (dua) tahun.
  3. Semua Ahli Jawatankuasa Pengurusan yang lalu adalah layak bagi dilantik semula.

PERKARA 15 – PEMILIHAN JAWATANKUASA PENGURUSAN

  1. Jawatankuasa Pengurusan hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.
  2. Semua pencalonan hendaklah dibuat di Mesyuarat Agung Dwi Tahunan dan pengundian hendaklah dibuat dengan mengangkat tangan kecuali disetujui dengan cara yang lain. Calon-calon yang mendapat majoriti undi hendaklah diisytiharkan dilantik memegang jawatan.

PERKARA 16 – TUGAS DAN KUASA JAWATANKUASA PENGURUSAN

  1. Bertanggungjawab bagi mengelolakan semua kegiatan PPITM selaras dengan objektifnya.
  2. Menerima akaun daripada Bendahari dan segala laporan dan Jawatankuasa Kecil.
  3. Mengelolakan dan menjalankan pemilihan bakal Jawatankuasa Pengurusan.
  4. Menimbangkan dan meluluskan, jika difikirkan perlu, semua permohonan untuk keahlian berdasarkan kepada Perkara 5 (ii).
  5. Menguruskan hal ehwal kewangan Persatuan dan memberi kuasa terhadap perbelanjaan.
  6. Melantik dan memansuhkan Jawatankuasa Kecil dan memberi kepada mereka kuasa yang akan ditentukan, Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Jawatan Pengurusan boleh menjadi ahli dalam Jawatankuasa Kecil tersebut sebagai Ahli Ex-officio. Jawatankuasa Kecil hendaklah secara automatis mansuh apabila tamatnya tempoh perkhidmatan Jawatankuasa Pengurusan yang melantik mereka.
  7. Tiada
  8. Meminta penerangan secara bertulis daripada seseorang ahli atau menggantung kemudahan-kemudahan yang boleh diterima oleh seseorang ahli jika sekiranya ahli tersebut melanggar peraturan dan objektif Persatuan serta melucutkan keahliannya jika ahli tersebut tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan.
  9. Mengambil segala langkah untuk melaksanakan objektif Persatuan bersesuaian dengan perlembagaan.
  10. Menggunakan segala kuasa dan menjalankan segala tugas seperti yang terkandung di dalam perlembagaan dan bertindak bagi pihak Persatuan dalam semua perkara yang tidak terdapat atau tidak dinyatakan di dalam peraturan atau undang-undang kecil ini,
  11. Segala keputusan Jawatankuasa Pengurusan hendaklah dibuat secara majoriti ahli yang hadir. Jika terdapat sebarang keputusan yang sen, Pengerusi hendaklah mempunyai hak pengundi.
  12. Berhak membatalkan/melucutkan keahlian di atas persetujuan sekurang-kurangnya 2/3 (dua pertiga) daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan.

PERKARA 17 – MESYUARAT JAWATANKUASA PENGURUSAN

  1. Jawatankuasa Pengurusan hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya 2 (dua) kali dalam setiap enam bulan. Mesyuarat-mesyuarat khas bolehlah diadakan di atas permintaan Presiden. Sekurang-kurangnya 7 (tujuh) hari notis. Mesyuarat-mesyuarat tersebut hendaklah dipengerusikan oleh Presiden atau sekiranya beliau tiada oleh Naib Presiden atau salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa yang hadir, kecuali Setiausaha, hendaklah dipilih untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.
  2. 9 (sembilan) orang Ahli Jawatankuasa bolehlah membentuk quorum. Sekiranya bilangan yang diperlukan tiada hadir bagi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan, satu lagi mesyuarat yang sama hendaklah diadakan dalam masa 10 (sepuluh) hari, sama ada bilangan yang hadir cukup atau tidak, agenda yang telah ditetapkan bagi mesyuarat yang lalu hendaklah dibincangkan.
  3. Seorang Ahli Jawatankuasa Pengurusan yang tidak menghadiri 3 (tiga) mesyuarat berturut-turut tanpa sebab munasabah yang boleh diterima oleh Jawatankuasa, hendaklah terhenti dari menjadi ahli dengan syarat ketetapan diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan bagi maksud tersebut.

PERKARA 18 -TUGAS PEGAWAI-PEGAWAI

  1. Presiden hendaklah:
    a) Bertindak sebagai Pengerusi dalam semua mesyuarat dan mempunyai undi pemutus.
    b) Mewakili Persatuan sama ada secara sendiri atau seseorang wakil dipilih oleh beliau dari Jawatankuasa Pengurusan Persatuan yang mempunyai urusan dengan orang-orang atau badan-badan luar.
    c) Mempunyai kuasa untuk menandatangani semua bil yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan dan bersama-sama dengan Bendahari menandatangani semua cek bagi pihak Persatuan.
  2. Naib Presiden hendaklah:
    a) Mengambil alih tugas Presiden sekiranya beliau tiada.
  3. Setiausaha hendaklah:
    a)Memanggil bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan semua mesyuarat dan persidangan PPITM; menyimpan minit mesyuarat tersebut; mengemukakan minit tersebut untuk diluluskan dalam mesyuarat yang akan datang dan mengedarkan ringkasan minit tersebut kepada semua Ahli Jawatankuasa Pengurusan.
    b) Menyimpan semua rekod kecuali mengenai kewangan Persatuan dan bertanggungjawab terhadap ketepatannya. Mengemukakan laporan tahunan dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan.
    c) Menguruskan segala surat-menyurat seperti yang diarahkan oleh badan Am atau Jawatankuasa pengurusan.
    d) Melaporkan semua perkara yang melibatkan kebajikan Persatuan kepada Jawatankuasa Pengurusan untuk tindakan yang perlu.
    e) Boleh menandatangani semua cek.
  4. Penolong Setiausaha hendaklah:
    a) Membantu Setiausaha dalam menjalankan tugas-tugasnya.
    b) Bertindak sebagai Setiausaha sekiranya Setiausaha tidak hadir.
  5. Bendahari hendaklah:
    a) Bertanggungjawab terhadap kewangan Persatuan dan menyelenggarakan buku-buku akaun yang perlu.
    b) Mengutip semua yuran, sumbangan dan Iain-Iain wang yang perlu dibayar kepada Persatuan dan memasukkan semua kutipan tersebut ke dalam bank seperti yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan;
    c) Mengeluarkan resit bagi semua wang yang diterima bagi pihak Persatuan.
    d) Membayar semua hutang yang ditanggung oleh Persatuan dan melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan sebarang hutang yang tidak diberi kuasa.
    e) Mengemukakan penyata kira-kira pada setiap mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan.
    f) Menyediakan dan mengemukakan kepada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan yang telah diaudit serta kunci kira-kira yang telah diaudit dan bertanggungjawab terhadap ketepatan akaun.
    g) Berhak menyemak akaun Jawatankuasa Tetap atau Jawatankuasa Kecil.
    h) Menandatangani dengan Presiden atau Setiausaha semua cek yang dikeluarkan oleh Persatuan.
  6. Ahli Jawatankuasa Pengurusan Biasa hendaklah:
    a) Membantu Iain-Iain pegawai dalam menjalankan tugas-tugas Persatuan;
    b) Bertanggungjawab bagi sebarang tugas Persatuan yang diamanahkan kepada mereka oleh Jawatankuasa Pengurusan.

PERKARA 19 -KEWANGAN

  1. Tahun kewangan hendaklah tamat pada 31 hb. Disember setiap tahun.
  2. Segala cek hendaklah ditandatangani oleh Bendahari dan Presiden atau Setiausaha.
  3. Bendahari diberi kuasa untuk menyimpan dan membelanjakan sehingga RM100.00 wang runcit bagi pihak Persatuan. Semua wang yang melebihi jumlah tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam bank yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan.
  4. Segala perbelanjaan melebihi RM 100.00 hendaklah dibuat dengan menggunakan cek selepas diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan. Perbelanjaan di bawah RM 100.00 boleh diluluskan oleh Presiden atau Bendahari.
  5. Akaun Bank hendaklah di atas nama Persatuan.
  6. Yuran hendaklah dibayar terus kepada Bendahari atau kepada wakil-wakil yang sah. Semua kutipan yuran yang dibuat oleh wakil-wakil tersebut hendaklah dibayar terus kepada Bendahari atau ke dalam akaun Persatuan dalam Bank Persatuan dalam masa 2 (dua) minggu kutipan dibuat.
  7. Jawatankuasa Pengurusan hendaklah berkuasa untuk menerima sumbangan dan yuran sama ada untuk bantuan kumpulan wang Persatuan atau untuk membiayai perbelanjaan yang mungkin dilakukan semasa menjalankan tugas-tugas khas yang berkaitan dengan kerja Persatuan.
  8. Jawatankuasa Pengurusan hendaklah berkuasa bagi mendapatkan kumpulan wang untuk Persatuan dengan cara yang bersesuaian dan sah.

PERKARA 20 -PERLANTIKAN AHLI KEHORMAT

    Persatuan hendaklah mempunyai pengawai-pegawai kehormat yang berikut:
  1. Seorang atau lebih Penasihat Kehormat hendaklah dilantik oleh Jawatankuasa bagi tempoh tidak melebihi tempoh perkhidmatannya.
  2. 2 (dua) Juruaudit Kehormat yang bukan ahli Jawatankuasa Pengurusan yang hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan dan hendaklah memegang jawatan selama 2 (dua) tahun sahaja. Mereka diperlukan untuk memeriksa akaun Persatuan bagi sebarang tempoh dalam tempoh mereka memegang jawatan pada sebarang tarikh dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pengurusan.

PERKARA 21 -PEMEGANG AMANAH

  1. 3 (tiga) orang Pemegang Amanah yang mesti berumur lebih dari pada 21 (dua puluh satu) tahun, hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung dan hendaklah memegang jawatan di atas kemahuan Persatuan. Mereka hendaklah meletak hak pada mereka semua harta tak alih kepunyaan Persatuan dan hendaklah mengendalikan seperti yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan.
  2. Pemegang Amanah tidak boleh menjual, mengambil sebarang harta Persatuan tanpa kebenaran bertulis Mesyuarat Agung.
  3. Seorang Pemegang Amanah bolehlah dilucutkan dari jawatan oleh Mesyuarat Agung di atas alasan tidak sihat, tidak waras, tiada dalam negeri atau sebarang sebab lain beliau tidak dapat menjalankan tugas dengan memuaskan.
  4. Jika beriaku kematian, perletakan jawatan atau perlucutan jawatan seorang Pemegang Amanah sebelum Mesyuarat Agung, kekosongan jawatan hendaklah dipenuhi oleh Jawatankuasa Pengurusan sehingga seorang Pemegang Amanah yang baru dilantik oleh Mesyuarat Agung.

PERKARA 22 -JAWATANKUASA KECIL

Jawatankuasa Pengurusan hendaklah melantik Jawatankuasa Kecil bila-bila difikirkan perlu, untuk tugas-tugas tertentu.

PERKARA 23 -PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN

  1. Pindaan kepada peraturan Persatuan hendaklah dibuat dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan atau dalam suatu Mesyuarat khas yang khusus bagi tujuan tersebut.
  2. Jawatankuasa Pengurusan atau 4 (empat) orang ahli biasa bolehlah mencadangkan pindaan-pindaan dan pindaan tersebut hendaklah menyatakan dengan perkara-perkara yang tepat cadangan pindaan yang hendak dibuat, hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada Setiausaha sekurang-kurangnya 21 (dua puluh satu) hari sebelum Mesyuarat Agung tersebut.
  3. Semua cadangan pindaan hendaklah diedarkan kepada semua ahli PPITM, 7 (tujuh) hari sebelum Mesyuarat Agung tersebut.
  4. Pindaan kepada Perlembagaan hendaklah diterima hanya apabila sekurangkurangnya 2/3 (dua pertiga) daripada ahli yang hadir di mesyuarat tersebut telah mengundi menyetujui pindaan tersebut dan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 25 (dua puluh lima) hari. la hendaklah tidak dikuatkuasakan tanpa keizinan terlebih dahulu daripada Pendaftar Pertubuhan.

PERKARA 24 -LARANGAN

  1. Persatuan hendaklah tidak melibatkan diri dalam pertikaian perkauman atau pertikaian agama.
  2. PPITM hendaklah tidak mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan kesatuan sekerja seperti yang ditakrifkan dalam Akta Kesatuan Sekerja.
  3. Persatuan hendaklah tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan parti politik atau membenarkan kumpulan simpanan wangnya atau permisnya digunakan untuk tujuan politik.

PERKARA 25 -PEMBUBARAN

  1. Persatuan hendaklah tidak dibubarkan kecuali dengan keizinan tidak kurang daripada 3/5 (tiga perlima) daripada ahli sama ada dengan sendiri atau secara proxy, atau secara undi melalui pos.
  2. Sekiranya terjadi Persatuan dibubarkan seperti yang dinyatakan diatas, semua hutang piutang dan tanggungan yang dilakukan oleh pihak Persatuan hendaklah diselesaikan serta baki kumpulan wang serta harta benda hendaklah menjadi milik Kerajaan Malaysia.
  3. Notis pembubaran hendaklah diberi dalam masa 14 (empat belas) hari pembubaran kepada Pendaftar Pertubuhan.

PERKARA 26 -HARTA BENDA

Persatuan boleh memiliki tanah dan bangunan untuk kegiatan dan kepentingan ahli-ahli. Persatuan dibenarkan menerima sumbangan daripada mana-mana pihak yang ingin memajukan Persatuan ini.

PERKARA 27 -LEPAS TANGGUNGAN

Tidak ada sebarang ahli Persatuan atau Jawatankuasa Pengurusan Persatuan yang boleh menanggung sebarang kerugian yang disebabkan oleh sebarang kesilapan keputusan atau perbelanjaan bagi pihak Persatuan atau bagi sebarang kerugian, kerosakan atau sesuatu tindakan yang tidak sengaja yang boleh berlaku semasa menjalankan tugas atau yang berkaitan dengannya kecuali ianya berlaku kerana ketidakjujurannya sendiri.

PERKARA 28 -TAFSIRAN

Sebarang persoalan atau perkara yang timbul dan sebarang perkara yang tidak dinyatakan di dalam Peraturan ini hendaklah ditafsirkan oleh Jawatankuasa Pengurusan mengikut budibicaranya.