Bernama
1/5/2014Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA LUMPUR (Bernama) — Hari Pekerja yang disambut seluruh dunia pada setiap 1 Mei, penting untuk menilai kembali peranan yang dimainkan oleh setiap daripada kita yang bergelar pekerja.

Penjawat awam terutamanya adalah antara pihak yang memainkan peranan penting sebagai agen tranformasi barisan paling hadapan yang menentukan kejayaan setiap dasar kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Sesuai peranannya, tema “Penjawat Awam Tiang Seri Negara” yang dipilih tahun ini cukup simbolik buat 1.4 juta penjawat awam yang menjadi nadi dan penggerak hubungan kerajaan dengan rakyat.

Umpama tiang seri yang menjadi penahan utama sebuah rumah, penjawat awam harus teguh dan integriti dengan hasil produktiviti yang tinggi agar rumah iaitu kerajaan kukuh untuk berlindung.
MEMENUHI KEPERLUAN RAKYAT
Untuk menjadi tiang seri, penjawat awam harus keluar dari zon selesa dan meninggalkan segala tingkah laku yang membawa imej negatif yang sering dilabelkan sebelum ini.

Sikap “hanya bekerja makan gaji” harus dibuang jauh daripada sentimen penjawat awam terutama ketika berhadapan kehendak rakyat yang semakin tinggi pada hari ini.

Amalan kerja yang cekap, cepat serta berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam, menurut Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

“Mereka harus sedar, gaji mereka dibayar melalui cukai yang dikutip daripada duit rakyat. Rakyat mahukan kerja yang cekap dan berkesan dengan pencapaian paling optimum dan kos yang rendah,” katanya kepada Bernama mengulas tema Hari Pekerja Penjawat Awam tahun ini.

Beliau, yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata hanya profesionalisme yang tinggi dan bertindak tanpa kepentingan peribadi akan menjamin mutu perkhidmatan penjawat awam.

“Gagal sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam, akan gagal penjawat awam kerana tidak berjaya membawa agenda kerajaan. Ini juga menunjukkan kegagalan kerajaan untuk berfungsi dengan baik.

“Inilah yang kena difahami oleh setiap penjawat awam bukannya sekadar kerja kerana makan gaji,” katanya.
Ujarnya, memenuhi kepuasan rakyat harus dijadikan teras kepada penjawat awam dalam memberi perkhidmatan yang terbaik yang melibatkan gabungan antara sektor awam dan swasta atau rakyat dan kerajaan.
TINGKATKAN KEPERLUAN PENJAWAT AWAM
Tatkala sektor awam sering menerima tempelak daripada sikap buruk bekerja oleh sekumpulan kecil kakitangan awam, namun majoriti kakitangan awam terdiri daripada mereka yang rajin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas untuk kerajaan.
Oleh itu, bagi memastikan tiang seri berkeadaan baik, kebajikan adalah perkara utama yang harus diberi perhatian. Ini akan memastikan penjawat awam dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) secara berterusan berusaha memastikan nasib penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya terutama soal kebajikan.

Presidennya, Azih Muda berkata walaupun kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengambil berat nasib penjawat awam, namun masih banyak lagi isu-isu yang menjadi bebanan kepada penjawat awam yang memerlukan pertimbangan kerajaan sebagai majikan.

Ujarnya, isu pemilikan rumah masih lagi menjadi satu kekangan terutama kumpulan pelaksana/sokongan yang berhadapan dengan harga rumah yang semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Penang.
Ramai dalam kalangan penjawat awam yang bertugas kurang 10 tahun tidak mampu membeli rumah kerana sebahagian gaji mereka dihabiskan untuk membayar sewa rumah dan pengasuh anak.

“Kerajaan menyasarkan untuk membina satu juta rumah. Kita harap pembinaan itu akan dapat dinikmati oleh penjawat awam kerana kita tidak mahu penjawat awam yang bersara pada usia 58 atau 60 masih tidak mempunyai rumah sendiri untuk berlindung daripada panas dan hujan,” katanya.
KEBAJIKAN JADI KEUTAMAAN
Masalah kesihatan dalam kalangan penjawat awam juga menjadi antara perjuangan Cuepacs terutama melibatkan penyakit kronik.

Ia menjadi perkara asas yang harus dibela pada tiang seri negara agar dapat memberi sumbangan terbaik kepada negara, katanya.

Antara perkara yang dilihat ialah perlunya kerajaan mewujudkan pusat hemodialisis sendiri khusus untuk penjawat awam. Ini kerana keperluan tersebut di hospital kerajaan dan pusat-pusat hemodialisis swasta tidak mencukupi.

Sepertimana pihak sektor swasta, sumbangan kakitangan sektor awam kepada negara ini turut dihargai dan kedua-duanya menjadi faktor penyumbang kepada pembangunan dan pembentukan Malaysia.
— BERNAMA

Laman web rasmi PPUiTM
http://ppuitm.uitm.edu.my/
FACEBOOK:
https://www.facebook.com/PPUiTM
TWITTER
http://twitter.com/#!/ppuitm
BLOG

http://ppuitmsa.blogspot.com/
INSTAGRAM
http://instagram.com/ppuitm/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Selamat Hari Lahir

birthday_cake
SELAMAT HARI LAHIR
  • NOR HANIZAN BINTI KHALID
  • ROZNITAH BINTI SONGGOH

Selamat Bersara

KALENDAR AKTIVITI

Archives

Categories

VISITORS COUNTER

  • 82071Total visitors:
  • 61Visitors today:
  • 398Visitors last week:
  • 2Visitors currently online: