Bernama
21/6/2014

MELAKA, 21 Jun (Bernama) — Pertambahan hasil daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membolehkan kerajaan menimbang pelbagai permintaan termasuk kenaikan elaun penjawat awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan memerlukan hasil tambahan baharu bagi memenuhi permintaan itu dan sistem GST yang lebih telus serta efisien dilihat dapat membantu menambah hasil kerajaan. “Kalau Presiden Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam) nak minta tambah elaun dan sebagainya, saya sebagai Menteri Kewangan perlu cari hasil tambahan, barulah boleh saya pertimbangkan.

“Kita tidak boleh pinjam duit daripada institusi kewangan seperti Bank Dunia nak bayar gaji, elaun… tak boleh, resepi itu boleh membawa kepada bencana ekonomi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, Sabtu. Katanya rasional pelaksanaan GST perlu difahami masyarakat di setiap peringkat sebagai suatu sistem yang mendatangkan kebaikan kepada negara dan rakyat.

Najib turut menegaskan pelaksanaan GST bukan untuk membebankan rakyat sebaliknya untuk memperkukuhkan hasil negara yang kemudian diagihkan kembali kepada rakyat. “Bukan semua barang akan naik (dan) bukan semua perkhidmatan akan naik (disebabkan GST), banyak barangan perkhidmatan asas akan dikecualikan daripada GST, inilah yang patut kita faham,” katanya.

GST diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen Oktober tahun lepas dan akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan. Sistem cukai baharu itu menetapkan enam peratus kadar cukai berbanding cukai jualan dan perkhidmatan berjumlah 16 peratus.

Sementara itu, mengulas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dikhuatiri Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bakal memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan warga pekerja, Najib berkata negara yang menyertai TPPA mempunyai kelebihan tertentu terutamanya dalam perkara melibatkan pelaburan dan pasaran.

“Malaysia tiada pasaran domestik yang besar seperti Indonesia atau China, kita bergantung kepada pasaran dunia, kalau kita hilang daya saing maka jumlah pelaburan dalam negara akan merudum dan akhirnya tidak berjaya menambah pekerjaan atau menaikkan kualiti pekerjaan ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

Namun, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat serta tidak akan membuat keputusan sehingga mengorbankan kepentingan negara.

— BERNAMA

Laman web rasmi PPUiTM
http://ppuitm.uitm.edu.my/
FACEBOOK:
https://www.facebook.com/PPUiTM
TWITTER
http://twitter.com/#!/ppuitm
BLOG

http://ppuitmsa.blogspot.com/
INSTAGRAM
http://instagram.com/ppuitm/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Selamat Hari Lahir

birthday_cake
SELAMAT HARI LAHIR
  • HASMIZA BINTI TEH
  • NAJMIN BINTI ABU BAKAR

Selamat Bersara

KALENDAR AKTIVITI

Archives

Categories

VISITORS COUNTER

  • 82099Total visitors:
  • 17Visitors today:
  • 353Visitors last week:
  • 3Visitors currently online: