SHAH ALAM 29 Okt. – Malaysia merupakan contoh terbaik bagi menunjukkan kepada dunia yang amalan konsep wasatiyyah di negara ini berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum. Ketua Pegawai Eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) yang baharu, Nasharudin Mat Isa berkata, kejayaan itu disebabkan segala pengurusan dan pentadbiran negara bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, menerusi Perlembagaan, setiap kaum dan etnik akan saling hormat-menghormati antara satu sama lain termasuk menerima hakikat yang Islam adalah agama Persekutuan. “Sekiranya perbezaan pendapat dan pandangan itu sukar ditangani, maka akan menjurus kepada amalan ekstremis. Akan ada perasaan ‘aku saja yang betul, aku saja yang pandai’, lalu timbul keresahan (dalam kalangan rakyat pelbagai kaum) sehingga wujud perasaan ketidaksamaan dan ketidakseragaman.
“Namun setakat ini (di Malaysia), alhamdulillah. Jika ada perbezaan pendapat, tiada masalah (mampu ditangani). Kita berjaya menguruskannya (konflik) sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya semasa menjadi panel forum Wacana Wasatiyyah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. Beliau menjawab pertanyaan salah seorang peserta forum yang mahu tahu sejauh mana konsep wasatiyyah mampu mengekalkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini. Nasharudin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas menambah, apabila ada pihak cuba mencabar Perlembagaan, maka jalan terbaik untuk menangani golongan berkenaan adalah dengan memperlihatkan konsep wasatiyyah. “Bagaimana untuk menguruskan masalah sebegini? Ikut Perlembagaan, jadikannya sebagai rujukan “Sebagai orang Islam, kita harus menjadi model terbaik kepada mereka (bukan Islam).
Cantiknya Islam bukan pada nama tetapi mempraktikkannya (wasatiyyah),” ujarnya. Sementara itu, forum bertajuk Wasatiyyah Wadah Transformasi Ummah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat UiTM tersebut turut dibarisi oleh seorang lagi panel, iaitu Imam Muda Ahmad Hazran dan Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) universiti tersebut, Profesor Madya Dr. Amer Shakir Zainol sebagai moderator.
Turut diadakan ialah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM dengan Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. Yang turut hadir Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin dan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar. –
See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wasatiyyah-malaysia-model-terbaik-1.152153#sthash.4tpmYT2l.dpuf
Laman web rasmi PPUiTM
http://ppuitm.uitm.edu.my/
FACEBOOK:
https://www.facebook.com/PPUiTM
TWITTER
http://twitter.com/#!/ppuitm
BLOG
http://ppuitmsa.blogspot.com/
INSTAGRAM
http://instagram.com/ppuitm/