KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) — Semua penjawat awam harus mengubah sikap dan mengambil iktibar daripada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 bagi mengelak berlakunya ketirisan.

Bekas Ketua Pengarah Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md Yusof berpendapat isu yang timbul dalam setiap kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan adalah disebabkan sikap individu itu sendiri.
Menurutnya, jika setiap individu mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas, ketirisan mungkin dapat dikurangkan.

“Bayangkan jika sesuatu kementerian itu ada cawangan atau jabatannya di setiap negeri dan daerah, maka agak sukar untuk melakukan pengawasan. Sebab itulah pentingnya sikap integriti dan amanah itu ada dalam setiap penjawat awam …tidak kisah menteri, ketua pengarah, mahupun pekerja biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.
Sebanyak 109 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 bagi membantu kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Laporan itu yang dibentang Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di Dewan Rakyat pada Isnin mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 17 program, aktiviti dan projek di bawah 14 kementerian dan jabatan serta pengurusan dua syarikat kerajaan.

Sementara itu, Penyelaras Program Sarjana Pentadbiran Awam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Noreha Hashim berpendapat penjawat awam perlu mempunyai kesedaran etika kerja bagi mengatasi masalah ketirisan.
“Selaku pensyarah yang mempunyai pelajar daripada sektor awam, saya dapati ada yang tidak tahu membezakan kuasa budi bicara sehingga menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

“Kerajaan perlu banyakkan latihan. Namun diakui sememangnya satu cabaran yang hebat kerana terdapat lebih 1.4 juta penjawat awam,” katanya.
Namun Noreha memuji inisiatif kerajaan memastikan pengurusan sektor awam dilakukan secara telus dan terbuka walaupun tindakan itu mungkin mendatangkan keburukan apabila sesetengah pihak hanya menguar-uarkan laporan yang negatif.

“Menariknya adalah syor-syor yang dicadangkan dalam laporan itu. Jangan hanya pandang teguran yang negatif. Yang penting, kementerian dan jabatan yang diberikan teguran perlu muhasabah diri dan elak daripada melakukan kesilapan sama,” katanya.

–Bernama
8/4/2014

Laman web rasmi PPUiTM
http://ppuitm.uitm.edu.my/
FACEBOOK:
https://www.facebook.com/PPUiTM
TWITTER
http://twitter.com/#!/ppuitm
BLOG

http://ppuitmsa.blogspot.com/
INSTAGRAM
http://instagram.com/ppuitm/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Selamat Hari Lahir

birthday_cake
SELAMAT HARI LAHIR
  • IMRAN BIN MOHAMED @ ISMAIL

Selamat Bersara

KALENDAR AKTIVITI

Archives

Categories

VISITORS COUNTER

  • 81143Total visitors:
  • 44Visitors today:
  • 434Visitors last week:
  • 0Visitors currently online: