Berita Harian
6/6/2014
Kuala Lumpur: Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya gaji penjawat awam dinaikkan 30 peratus tidak mungkin dilaksanakan kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang tinggi.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata permintaan kenaikan itu selaras pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai April tahun depan juga sama sekali tidak rasional
Katanya, ini kerana sistem GST tidak akan memberi kesan kenaikan kos harga barang sehingga 30 peratus, sebaliknya ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat berikutan pelbagai barangan dan perkhidmatan juga masih dikecualikan GST.
Sistem GST tidak akan memberi kesan kenaikan kos harga barang sehingga 30 peratus, sebaliknya ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat” Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan
Bukan alasan munasabah
“Saya tak rasa ia alasan munasabah untuk meminta menaikkan gaji kakitangan awam sehingga 30 peratus dengan memberi perbandingan GST.
“Jika itu dimaksudkan CEUPACS, mungkin elok jika mereka menghadiri lebih banyak majlis penerangan GST supaya lebih faham,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Ke-57 di sini, semalam.
CUEPACS sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan menaikkan 30 peratus gaji penjawat awam bagi membolehkan mereka menikmati agenda dan transformasi kerajaan dengan baik selain persediaan kepada pengenalan GST.
Mengulas lanjut, Ahmad menggesa penjawat awam lebih proaktif dengan mencari maklumat yang benar mengenai cukai berkenaan.
“Kalau penjawat awam sendiri tiada inisiatif untuk kaji dan teliti mengenai GST, macam mana pula dengan rakyat? Sepuluh tahun tidak mahu ambil tahu, maka selama itulah mereka tidak akan faham apa itu GST,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tindakan JPPH memulakan usaha penilaian Harta Intelek pada Jun tahun lalu telah menjadikan Malaysia negara pertama di rantau Asia Tenggara dalam menerajui bidang berkenaan.
Katanya, penubuhan Unit Penilaian Harta Intelek bertujuan menilai kepentingan aspek paten, reka bentuk industri dan hak cipta, sekali gus mampu memberi peningkatan kepada ekonomi negara
Laman web rasmi PPUiTM
http://ppuitm.uitm.edu.my/
FACEBOOK:
https://www.facebook.com/PPUiTM
TWITTER
http://twitter.com/#!/ppuitm
BLOG
http://ppuitmsa.blogspot.com/
INSTAGRAM
http://instagram.com/ppuitm/